Followers

Friday, January 28, 2011

Mak Yong - Cerita Anak Raja Gondang


Anak Raja Gondang adalah sebuah kisah di dalam negeri Serendah Sepagar Ruyung yang diperintah oleh Raja Besar. Kisah bermula dengan Permaisuri Raja Besar iaitu Puteri Gerak Petera sedang hamil anak sulung mereka. Sebagai persiapan Sekiranya menimang seorang putera maka baginda, Raja Besar keluar berburu ke hutan untuk mencari Gajah Putih Bergading Hitam. Ketika dalam perburuan, Puteri Gerak Petera bersalin, baginda tidak melahirkan seorang putera tetapi seekor siput gondang. Apabila Raja Besar pulang ke istana, baginda terkejut dan amat murka kerana melihatkan anaknya bukan manusia. Maka, baginda menuduh Puteri Gerak Petera membuat hubungan sulit lalu menghalau Puteri Gerak Petera dari istana. Puteri Gerak Petera bersama anak gondangnya membawa diri dan mendapatkan perlindungan dari Wak Pakil Jenang, seorang bekas pekerja istana. Baginda juga mengarahkan anak gondangnya untuk dijaga oleh Wak Pakil Jenang semasa bekerja. Akhinya apabila tiba saat dan ketikanya, gendang menetas dan keluarlah seorang putera dari gondang. Pada awalnya Wak Pakil Jenang tidak mempercayai kejadian itu. Apabila Puteri Gerak Petera pulang, didapati gondangnya kosong, berlaku salah faham antara Puteri dengan Wak Pakil Jenang. Anak Raja Gondang menceritakan hal yang sebenar, maka Puteri menyumpah akan sesiapa yang mengganggu gondangnya. Anak Raja Gondang memohon izin untuk memulakan pengembaraan menemui ayahandanya lalu berangkat ke Padang Luas Saujana padang. Di sinilah bermulanya pengembaraan Anak Raja Gondang yang melalui pelbagai halangan, namun atas kebijaksanaannya maka baginda dapat mengatasi anak-anak Mak Inang Kurang Sa Empat Puluh dan Wak Juara Pemikat. Kerana kesengajaannya menganiaya Wak Juara Pemikat maka baginda telah ditangkap oleh Wak Pertanda Raja lalu membawanya masuk ke istana. Helahnya telah berjaya menemukannya dengan Raja Besar. Raja Besar terpikat dengan Anak Raja Gondang, lantas mengambil Anak Raja Gondang sebagai anak angkat baginda. Baginda tidak menyangka bahawa Gondang adalah anak kandungnya.

Mak Yong - Cerita Hikayat Dewa Muda


Bahagian 1 - Dewa Muda bermimpi didatangi seorang lelaki tua memintanya memburu kijang ucana (emas). Jika tidak tertunai, negeri Selindungan Bulan akan ditimpa bencana. Setelah terjaga, Dewa Muda memanggil pengasuh antara kedua iaitu Peran Tua & Peran Muda bertanyakan maksud mimpinya. Kedua peran sukar menfsirnya lalu memanggil Tok Nujum & menurutnya Dewa Muda perlu mematuhi arahan mimpinya. Dewa Muda & pengasuh keduanya berangkat ke hutan lalu terpandang kijang ucana namun ghaib tiba-tiba namun diteruskan perburuan hingga tersesat di sebuah tasik yang indah. Sewaktu Dewa Muda membasuh muka, muncul wajah Puteri Ratna Emas dalam bayangan air dan mengarahkan agar semua syarat dipatuhi jika ingin bertemu dengannya seperti bermain wau beremas. Dewa Muda lantas pulang menemui bonda & menyatakan hasrat lalu diberitahu bahawa wau tersebut di Tanah Jawa.

Bahagian 2 - Wau berjaya ditemui, malangnya tersangkut atas dahan (bumbung istana bota). Awang Sejambul Lebat dipanggil membantu Dewa Muda untuk meneruskan niat menemui Puteri Ratna Emas dengan meniti tali yang diikat pada busut rumput. Di pertengahan jalan, Dewa Muda ditakuti oleh suara Bota yang garang dan Dewa Muda berasa takut, lantas Dewa Muda turun ke bumi tetapi telah dipukul oleh Awang Si Jambul Lebat dengan Lintang 40 membujur 40 sehingga Dewa Muda sanggup mendaki semula. Mereka berasa amat penat lalu menjamah sedikit makanan dan tertidur di situ. Pada waktu itu, Puteri Ratna Emas dan Inang Bongsu sedang bermain di taman istana. Mereka terkejut melihat tanaman di makan orang. Namun apabila ternampak Dewa Muda dan Awang Sejambul Lebat mereka pun berkenalan. Berputiklah cinta antara Dewa Muda dan Puteri Ratna Emas. Sewaktu hendak di bawa ke dalam istana, Dewa Muda telah ditukarkan rupanya oleh Puteri Ratna Emas menjadi sekuntum Bunga Putih bagi mengelak diketahui asal usul kekasihnya itu oleh ayahanda Raja Bota dan Inang Bongsu yang curiga.